Alhamdulillah pada 18 April 2014 jam 8.13 pagi isteri saya selamat melahirkan zuriat pertama kami di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan secara pembedahan. Kelahirannya memang tidak dirancang di Kuantan, sebaliknya sebelum ini kami membuat persediaan untuk bersalin di tempat tinggal kami, Ampang.
Namun ketentuan Allah SWT, isteri saya mengalami kontraksi sakit bersalin pada malam yang kami rancang untuk pulang ke Ampang. Kemudiannya disahkan oleh adik saya yang juga seorang doktor perubatan bahawa ini memang tanda jelas kelahiran.
Rezeki Allah, anak ini dilahirkan pada hari Jumaat yang penuh barakah, cukup sifat, berat, dan sihat. Atas ketentuan Allah SWT juga, bayi ini dapat ditahnik pada hari pertama kelahirannya oleh Ustaz Yusof Embong, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Pahang. Moga-moga dengan berkat tahnik oleh tokoh ulama dan pejuang Islam ini, anak ini sentiasa dekat jiwanya dengan Al-Quran dan sunnah, dan menjadi anak solehah.
Memperkenalkan, Fatihah binti Muhammad Safwan. Doa abah dan ummi, moga Fatihah jadi anak solehah. Taatkan Allah dan Rasul, selalu tolong abah dan ummi, jadi kakak yang baik kepada adik-adik (InsyaAllah)..


No comments:
Post a Comment